Friday, May 04, 2007

Kerana burung berpindah sarang

Tepat seminggu sejak aku menetap di Howitt Hall, aku membayar sewa bilik dan menukilkan tandatanganku ke atas sehelai kertas yang maknanya hilang ditelan setiap saat yang berlalu. Ya, barangkali bermakna kepada kerani itu sebagai rekod. Namun, bagi aku, kertas itu benar-benar hanya sehelai kertas. Sebarang polisi, protokol, dan objek yang berkaitan dengan hall ini seolah-olah larut di hadapan renungan malasku, mencairkan sama apa jua makna yang terkandung. Mengapa, ya? Masakan soalan tu ditanya. Aku sendiri sudah tahu jawapannya. Soalan itu retorik.

Sesungguhnya pada saat pena biru pada jemariku berhenti menari-nari melukiskan lengkung dan lenggok tandatanganku, maka putuslah segala perkaitanku dengan hall itu. Ya, aku telah berpindah keluar dari bilik yang makin hari terasa makin sempit itu, bersama dua lagi rakanku.

Peristiwa yang telah berlalu beberapa hari sebelumnya terasa samar-samar pula. Mengorek kembali memori ini yang tersorok di sebalik jaringan sel-sel neuron adalah agak sukar, bagaikan mencari bulat matahari yang sedang bersembunyi di balik awan-awan gebu.

Keluar. Berjalan-jalan sekitar perumahan berhampiran universiti. Mencari-cari. Menangkap gambar. Bermandi cahaya mentari terik. Menghitamkan kulit. Terjumpa rumah sewa. Telefon agen hartanah. Dah disewa. Kecewa. Terjumpa lagi rumah sewa. Telefon lagi. Mahal. Terjumpa lagi rumah sewa. Telefon lagi. Dah disewa. Kecewa. Entah berapa kali terjumpa rumah dalam keadaan berpeluh dan lenguh kaki. Entah berapa kali menelefon agen hartanah dan kecewa kerana rumah sudah disewa atau sewa terlalu mahal. Entah berapa jam berjalan-jalan bersama-sama tanpa henti. Tiga empat jam barangkali. Entah berapa hari terluang untuk mencari rumah. Tiga hari rasanya.

''Mengapa tak minta saja pertolongan senior di situ?''

Entahlah. Bukan kami terlupa kewujudan senior di situ, tetapi kami enggan menyusahkan mereka. Aku malas mahu mengulas panjang-panjang mengapa. Jangan ditanya mengapa dan jangan risau kerana kau masih boleh memahami kisah ini walaupun tiada ulasan mengapa aku “tak minta saja pertolongan senior di situ?”.

Tepat dua hari sebelum aku bercerai talak tiga dengan Howitt Hall, aku bersama teman melangkah keluar untuk mencari rumah sewa yang telah kami temui di legar Internet. Tangan menggenggam erat seribu satu harapan, dada mengumpul seluruh saki-baki kekuatan yang tinggal, dan hati memancar dengan semangat merah. Rumah sewa yang indah bak kayangan itu telah menawan hati pemuda-pemuda ini.

Apabila aku membaca kembali perenggan di atas, bunyinya begitu dramatis. Alah, macam mahu ke medan pertempuran saja! Kalau begitu sifat-sifat para mujahidin sebelum mara ke lapangan jihad, bukankah cantik sekali? Ya, cinta kepada Allah punya kuasa yang melebihi batasan normal. Yang 30 mujahidin bisa menumpaskan yang 300, dan yang 300 bisa menumbangkan yang 3000, bak kata seorang yang aku sangat sanjungi.

Hmm. Lihatlah betapa mudahnya aku melencong. Mari sambung kisah pemuda-pemuda yang kegersangan rumah itu. Isy, memalukan!

Aku membuat panggilan ke agen hartanah sedang kaki sibuk melangkah ke destinasi. Kami tiba, lantas memuji-muji rumah dari kayangan itu. Lima minit kemudian muncul pula seorang agen hartanah yang agak bertubuh gempal. Lelaki berbangsa putih itu menyambut kami dan melontarkan pandangan mata yang mesra. Kami pula membalas dengan senyuman yang jauh lebih mesra.

Lelaki itu menyeluk saku seluarnya, dan keluarlah sejambak kunci bersama tangan berisinya. Sebatang kunci dijolokkan ke dalam tombol pintu. Bunyi ‘klik’ seperti ada besi halus yang dilepaskan. Pintu berhayun perlahan, memperlihatkan isi rumah sedikit demi sedikit.

Kami melangkah masuk. Beliak mata dan nganga mulut sudah cukup untuk menerangkan keadaan rumah sewa itu. Lengkap berperabot. Set sofa, televisyen entah berapa inci, meja ruang tamu, meja dan kerusi makan, almari, rak, kabinet, dapur, ketuhar, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, katil, meja belajar, segala yang cukup untuk pelajar-pelajar perubatan yang harap-harapnya rajin belajar. Tangan aku sibuk membelek dan mengusap segala objek yang tercapai. Kaki pula seolah-olah punya fikiran sendiri; bergerak ke mana-mana ruang dan bilik yang disukai. Sedang aku teroka rumah itu, aku terjatuh. Tersembam agaknya.

Kusedar bahawa aku telah jatuh cinta dengan rumah sewa itu.

Awal pagi keesokan harinya, kami menuju ke pejabat agen hartanah tersebut dan memeterai perjanjian kontrak selama 12 bulan. Sebanyak $1100 hilang dalam sekelip mata. $550 untuk bond, dan $550 untuk sewa bulan pertama.

Kemudian? Sila berpatah ke perenggan pertama entri ini. Jika kau pak turut yang lurus bendul dan mengikut arahanku, kau akan dapati bahawa kau takkan habis membaca entri kali ini.

1 Comments:

At 1:04 PM , Anonymous Anonymous said...

hehe.. jangan terkejut, aku sudah pun jadi pak turut tadi..haha
aku faham prasaan seorang yang ingin berdikari..lebih puas mengerjakan tanpa bantuan orang lain..(saje2 utk pnglaman.. dan ini mmg mnyeronokkan.. )
dah jumpe ke rumah yg best2?

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home