Penyakit yang ditangisi
Awas! Terdapat suatu berita bahawa tersebarnya suatu jenis penyakit yang mencengkam hanya individu berlabel manusia! Sebarang mamalia, amfibia, reptilia, mahupun haiwan daripada famili yang lain tidak terkesan dengan penyakit berbahaya ini. Didapati penyakit ini menyerang hati manusia, dan seringkali individu yang mengidap penyakit ini hidup bertahun-tahun tanpa menyedari bahawa hati mereka dimakan perlahan-lahan. Sekiranya rawatan tidak dijalankan untuk menghapuskan penyakit ini dari hati manusia, pengakhirannya begitu mengerikan - pesakit itu akan merasakan seperti seluruh badannya dibakar kerana hujung-hujung reseptor haba dan kesakitan (thermoreceptor dan nociceptor) yang terkandung pada seluruh kulit pesakit itu akan kuat dirangsang. Pesakit akan menjerit (bukan lagi mengerang) menahan maha kesakitan sedangkan tiada sebarang ubat penahan sakit pun yang cukup berkuasa walaupun untuk melegakan penyeksaan ini.
Namun begitu, penyakit yang dibincangkan ini bukanlah sesuatu yang baru - Rasulullah Muhammad s.a.w. lebih 1400 tahun yang lalu telahpun mengkhabarkan umatnya tentang penyakit ini. Ya, Rasulullah s.a.w. juga sedar akan kedahsyatan penyakit ini sehinggakan baginda menangis mengenangkan penyakit ini bakal menimpa manusia zaman akan datang.
Hampir semua tahu tentang penyakit ini. Jika tidak diberitahu sejak kecil oleh ibu dan ayah kita, sistem pendidikan Malaysia telah lama menyerapkan pengetahuan tentang penyakit ini dalam kurikulum. Penyakit apakah ini???
Rasulullah Muhammad s.a.w. menamakannya RIAK.
Tanpa menuduh sesiapa pun, kita wajar mengakui bahawa kita sering sahaja menyaksikan perbuatan riak orang lain. Yang paling mengejutkan apabila mata sendiri yang menjadi saksi kepada riak yang lahirnya daripada diri sendiri; itupun kalau sendiri mengesan kekejian diri.
Sebanyak mana aku membenci riak dan gentar akan kemurkaan Allah s.w.t. dengan perbuatan riak pun, aku masih mendapati diriku kadang-kala ditimpa penyakit hati ini. Riak itu hadir dalam sekelip mata, dalam sejenak sedang aku leka, dan hanya dapat disingkirkan dengan membayangkan Allah s.w.t. memandang diriku yang keji dalam kemarahan, lalu menimbulkan rasa kesal dan takut dalam diriku. Riakku ini boleh muncul di mana-mana sahaja - sekejap di rumah, kadang-kala di bilik tutorial, bilik bedah mayat juga pernah. Pendekkan yang panjang, merata-rata.
Setiap kali aku tersedar, aku bencikan diri sendiri dan hatiku berat dengan penyesalan.
Namun begitu, dalam banyak-banyak riak yang pernah aku lakukan, riak yang paling kutakut dan gentar ialah riak dalam mengerjakan ibadah. Riak inilah yang paling kucuba elak sebaik mungkin. Mengapa? Riak ini sememangnya menjamin dan menempah tempat di neraka kelak. Riak dalam beribadah itu suatu syirik.
Syirik itu pelbagai bahagiannya, antaranya Syirik Rububiyyah (iaitu mempersekutukan Allah dalam pentadbiran alam ini), Syirik Asma' (iaitu menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, samada dalam bentuk tindakan atau percakapan), dan Syirik Ubudaiyyah (iaitu syirik dari segi penyembahan yang banyak berlaku dalam masyarakat kita samada disedari atau tidak) [sumber daripada Jabatan Agama Islam Selangor].
Syirik Ubudaiyyah itu pula terbahagi kepada dua, iaitu:
- Menyembah selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainNya seperti meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan lain-lain lagi.
- Beribadat dengan tidak ikhklas (riak). Ia beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama, pangkat, pengaruh dan sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil.
Baginda menjawab : "Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan menyembah berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan".
Bagaimana pula riak dalam mengerjakan idabah itu membawa ke syirik? Contoh paling mudah: seorang pemuda yang datang ke masjid banyak bersolat sunat antara waktu maghrib dan isya'. Pemuda itu kelihatan begitu tekun beribadah dan cukup beriman pada pandangan mata para tetamu Allah yang lain. Dalam minda pemuda itu, tak henti-henti memikirkan apa agaknya kata orang lain. Hatinya tersenyum bangga. Tetapi ingat, setiap ibadah itu disandarkan pada niatnya. Solat itu asalnya hanya untuk Allah s.w.t. namun pemuda itu tanpa sedar telah bertukar niat dan sebab sebenar dia bersolat sunat - bukan lagi untuk Allah s.w.t. tetapi untuk menunjuk-nunjuk dan menaikkan imejnya. Itulah hakikat sebenar niat solat sunatnya. Maka ibadahnya bukan lagi untuk Allah s.w.t.. Bukankah itu penyekutuan terhadap Allah Yang Esa?
Aku benar-benar takut akan riak dalam beribadah. Kegentaranku untuk menimbulkan murka Allah s.w.t. sehinggakan aku teragak-agak untuk menjadi imam dalam solat jemaah hampir setiap kali. (Aku tak dapat mengolah perkara ini tanpa kedengaran seperti riak, tetapi percayalah aku menaip setiap huruf dalam entri kali ini tanpa sepercik riak pun; hanya sekadar ingin berkongsi dan mengingatkan.) Aku setiap kali membacakan ayat al-Quran dengan berlagu (tarannum) kerana berasa senang diriku hanyut dibawa alunan bacaan. Dengan melagukan bacaanku aku lebih tenang dan kusyuk. Namun apabila aku mengimamkan solat, riak itu timbul.
"Mesti makmum dengar bacaan aku *****!" atau "Lepas nih mesti diorang puji-puji bacaan aku pastu cerita kat orang lain!" atau "Nama aku disebut-sebut la lepas nih!" atau sebarang bisik hati menyampaikan isi yang seakan-akan sama.
Biarlah aku berterus-terang. Aku sesungguhnya cukup malu menuliskan bisik hati riakku. Benar-benar malu kerana kau tahu betapa hodohnya hati aku tika dilumuri riak. Malunya hinggakan aku hampir memadam perenggan di atas itu. MALUNYA!!! Tapi biarlah aku malu kerana aku mahu kau sebagai pembaca belajar supaya jangan sekali-kali jadi seperti aku. Jangan! Aku tunjukkan kepada kau betapa buruk dan hodohnya hati kerana riak.
Sebab itulah aku teragak-agak untuk mengimamkan solat kerana aku risau riak itu membisikkan lagi ayat-ayat keji lagi "syok-sendiri". Jika aku menjadi imam sekalipun aku harus melawan riak itu dengan mengingat Allah s.w.t. dan meyakinkan diriku bahawa bacaanku yang berlagu itu harap-harapnya dapat membantu makmum khusyuk dalam solat mereka. Aku benci riak itu!!! Benci-sebencinya!
Sekiranya kau juga seperti aku, ambillah tindakan aktif untuk menghapuskan riak itu. Riak perlu dilawan berkali-kali sebelum ia tumpas. Hati yang bersih daripada riak itulah yang kita cuba capai.
Moral tambahan: Kaum Adam semua diseru menjadi imam. Janganlah teragak-agak seperti aku. Aku sendiri cuba untuk menolak riak itu biar hilang dan meneguhkan hatiku yang ragu-ragu.
"Ya Allah, sucikanlah hatiku daripada sebarang penyakit hati, terutamanya riak yang bisa mensyirikkanMu, Ya Allah... Amin!!!"
Jika kau selesai membaca entri ini dan terserempak denganku di mana-mana saja, jangan sekali-kali kau sebut tentang entri ini. Senyap sahaja. Aku takut aku riak lagi.
(Tapi aku sangat mengalu-alukan komen di sini.)